Kata ini berasal dari bahasa Yunani euanggelion, yang ertinya ‘khabar gembira’ atau ‘berita baik.’ Kedatangan Isa al-Masih dan bermulanya Kerajaan Allah di dunia ini merupakan intipati Injil yang harus diberitakan ke mana-mana (KSI: Matius 24:14). Injil juga merupakan nama Kitab Suci yang diwahyukan melalui pengikut-pengikut Isa al-Masih tentang riwayat hidup dan ajaran-ajaran-Nya.
Kamus
Injil
Isa al-Masih
Juga dikenali sebagai Isa Putera Maryam atau Isa. ‘Isa’ adalah nama peribadi-Nya dan berasal daripada kata Ibrani yang bermaksud ‘Allah menyelamatkan.’ ‘Al-Masih’ adalah gelaran istimewa hanya untuk Isa.
Nabi-nabi dahulu kala telah menulis bahawa al-Masih akan datang untuk menjadi raja teragung orang Yahudi. Orang Yahudi itu mengharapkan al-Masih itu akan melepaskan mereka daripada penjajahan Rom tetapi tujuan kedatangan-Nya jauh lebih besar daripada itu. Dia telah datang sebagai cahaya dunia untuk melepaskan manusia daripada kegelapan dosa (KSI Yahya 8:12). Lihat al-Masih.
Israel
Istilah ‘Israel’ yang terdapat di dalam Kitab Suci Taurat, Zabur dan Injil tidak sama dengan negara Israel yang hari ini ada di Timur Tengah hari ini, tetapi adalah:
Nama baru Nabi Yakub yang diberikan Allah selepas malam pergelutan di Penuel (KST: Kejadian 32:22 – 32). Dalam bahasa Ibrani bererti ‘Allah berusaha.’
Keturunan Nabi Ibrahim melalui Nabi Ishak dan Nabi Yakub. Mereka ini terpilih sebagai umat Allah tetapi seringkali mengingkari-Nya.
Jam
Perkiraan waktu. Pada abad pertama terdapat dua cara untuk mengira waktu. Paling umum adalah pengiraan yang dimulai pada waktu matahari terbit sehingga waktu matahari terbenam. Waktu, dibahagi kepada dua belas jam. Jadi, jam yang keenam sama dengan pukul dua belas tengah hari menurut pengiraan waktu kita. Ada juga orang yang mengira waktu mulai tengah malam, kemudian pengiraan selanjutnya dimulai pada tengah hari. Pengiraan ini sama dengan apa yang digunakan sekarang. Menurut pengiraan ini, jam yang keenam bererti pukul enam pagi atau pukul enam petang. Dalam tulisan Yahya, belum jelas pengiraan mana yang digunakan. Contohnya, jam yang keenam boleh bererti pukul dua belas tengah hari atau juga boleh bererti pukul enam pagi (KSI: Yahya 4:6).
Jemaah
Sekumpulan orang, umat Allah yang mengasihi dan mematuhi-Nya dengan segenap jiwa, hati dan akal serta mengasihi satu sama lain (KSI: Matius 22:37 – 39). Sebagai anggota satu tubuh, pengikut Isa al-Masih beribadat, mengkaji dan mengimani Kitab Suci, bersaudara, melayani dan mengkhabarkan Injil bersama-sama (KSI: Kisah Para Rasul 2:42 – 47).
Jibrail
Salah seorang malaikat utama, yang selalu siap sedia diutus Allah untuk membawa khabar dari-Nya. Jibrail pernah diutus kepada Zakaria dan Maryam (KSI: Lukas 1:19, 26).
Junjungan / Junjungan Yang Esa
Yang dimuliakan dan kepada-Nya ditujukan taat setia oleh setiap pengikut-Nya. Gelaran ini berasal dari istilah Yunani kurios dan mempunyai makna yang cukup luas. Pada abad-abad dahulu, istilah kurios boleh digunakan baik untuk seorang biasa yang dihormati mahupun untuk Kaisar Rom yang disembah oleh ramai orang sebagai tuhan. Dalam Kitab Suci Injil, istilah ini sering ditujukan untuk Isa al-Masih. Setelah Isa al-Masih berangkat kembali ke syurga, Dia dikurniakan nama di atas segala nama (KSI: Filipi 2:9 – 10). Segala hak dan kekuasaan baik di syurga mahupun di bumi diserahkan kepada-Nya (KSI: Matius 28:18), dan Dia dilantik menjadi junjungan dan raja dalam Kerajaan Allah (KSI: Wahyu 17:14). Dalam beberapa ayat istilah ‘Junjungan Yang Esa’ telah digunakan kerana konteks kata kurios itu menjelaskan kesetiaan sepenuh pengikut Isa al-Masih yang tidak berbelah-bagi untuk Dia (KSI: Rom 10:9 – 10).
Kasih Kurnia
Yang dianugerahkan Allah kepada manusia yang sebenarnya tidak layak menerimanya. Setiap orang yang mengingkari Allah harus dihukum, tetapi, kerana kasih kurnia Allah, manusia menerima pengampunan dosa melalui Isa al-Masih (KSI: Rom 6:23). Amal yang dibuat oleh orang yang telah menerima pengampunan Allah bukan dibuat untuk mendapat berkat melainkan dibuat sebagai tanda syukur kepada Yang Maha Kasih (KSI: Efesus 2:8 – 9).
Kayafas
Ketua imam orang Yahudi pada zaman Isa al-Masih (KSI: Matius 26:3 – 4). Pada masa itu orang Rom melantik ketua-ketua imam untuk mengawal hal-ehwal agama orang Yahudi.
Kebangkitan
Dihidupkan semula sesudah mati. Tiga hari sesudah Isa al-Masih wafat dan dikebumikan, Dia kembali hidup dengan kuasa Allah. Kebangkitan-Nya telah disaksikan oleh 500 orang dengan mata mereka sendiri selama empat puluh hari. (KSI: 1 Korintus 15:3 – 8). Selepas empat puluh hari, Yang Maha Esa mengangkat Isa ke syurga dan mendudukkan-Nya ‘jauh lebih tinggi dari segala penguasa, kekuasaan dan pemerintahan’ (KSI: Efesus 1:20 – 21).
Kunci: KST: Kitab Suci Taurat; KSZ: Kitab Suci Zabur; KSI: Kitab Suci Injil