Pesanan daripada Penerbit

Kedamaian memang didambakan oleh begitu ramai warga dunia kita. "Damai" boleh dijadikan akrostik yang membawa pengertian "Dalam Allah (SWT) Muafakat Amat Istimewa" hingga terpaparlah betapa bermuafakat menjadi ramuan penting dalam kehidupan sebagaimana yang diungkapkan oleh banyak peribahasa Melayu, antaranya

"Muafakat membawa berkat"

"Bulat air sebab pembetung, bulat kata oleh muafakat."

Sedih sekali melihat betapa antara sesama manusia wujud jurang yang menyebabkan "tiada kemuafakatan" dan "tiada kedamaian", dan yang paling ketara ialah hakikat betapa antara warga Muslim dengan warga Kristian kini wujud tembok pemisah yang teramat besar, walhal tembok pemisah itu dibangunkan oleh sejarah dan bukan oleh mereka sendiri mahupun oleh leluhur mereka.

Lantas visi kita semua adalah untuk berusaha melenyapkan jurang berupa sikap salah faham dan curiga mencurigai antara satu sama lain.

Demi membolehkan kita sama-sama menyempurnakan visi tersebut, khas untuk rakan Muslim dan Kristian yang "sealiran fikiran", dalam laman sesawang ini, kami dengan segala rendah hati, ingin menyediakan buku-buku yang mampu membentuk atau merubah bentuk hati dan minda—jiwa dan intelek—kita. Semoga, dengan kita mula belajar kembali untuk hidup dalam damai dan bermuafakat, dunia bakal lebih sejahtera dan Allah (SWT) terus memberkati segala usaha kita untuk saling berhubungan dengan aman dan damai.