Perayaan pengucapan syukur umat Israel atas hasil penuaian gandum. Pesta ini dirayakan tujuh minggu (Pentakosta adalah bahasa Yunani yang ertinya ‘kelima puluh’) selepas hari Paska. Sebab itu pesta ini juga dikenal dengan nama Perayaan Tujuh Minggu (KST: Ulangan 16:10). Pentakosta juga dikaitkan dengan turunnya Roh Allah Yang Maha Suci (KSI: Kisah Para Rasul 2:1 – 13).
Kamus
Perayaan Pentakosta
Puasa
Menahan lapar dan dahaga untuk tujuan kerohanian. Isa al-Masih mengarahkan para pengikut-Nya supaya berpuasa tetapi tidak menjelaskan caranya. Sebagai contoh, Isa sendiri telah berpuasa selama empat puluh hari sebelum pelayanan-Nya (KSI: Matius 4:2). Pengikut Isa sering menerima bimbingan melalui Roh Allah semasa mereka berpuasa dan beribadat (KSI: Kisah Para Rasul 13:2, 14:23). Puasa boleh dianggap sebagai bahagian daripada ibadat (KSI: Lukas 2:36 – 37). Doa dan puasa sering beriringan apabila kita betul-betul mencari Allah.
Putera
Putera bermaksud ‘anak lelaki’ atau ‘anak lelaki raja’. Istilah ‘putera’ biasanya digunakan untuk menyatakan perasaan hormat atau kasih sayang. Perkataan ‘putera’ juga digunakan secara metaforik seperti dalam istilah sehari-hari ‘bumiputera.’ ‘Bumiputera’ tidak bermaksud bumi melahirkan anak tetapi lebih kepada hubungan rapat antara manusia dengan bumi ini. Lihat Anak, Putera Allah.
Putera Allah
Gelaran Isa yang jarang digunakan oleh diri-Nya sendiri, tetapi suatu gelaran yang diakui Isa apabila Dia dipanggil dengan ungkapan ini oleh pihak lain (KSI: Matius 4:1 – 9, 26:63). Allah kadang-kala merujukkan kepada Isa sebagai putera-Nya dan Isa sering merujuk kepada Allah sebagai Bapa-Nya. Perkataan ‘putera’ dan ‘bapa’ harus difahami secara rohani bukan secara jasmani. Allah adalah Roh. Kelahiran Isa al-Masih adalah suatu mukjizat. Isa tidak mempunyai bapa jasmani, tetapi dilahirkan oleh Maryam yang masih dara (KSI: Lukas 1:35).
Gelaran ‘Putera Allah’ berhubungan dengan dua gelaran Isa yang lain, iatu Firman Allah (KSI: Yahya 1:1, 14; KSI: 1 Yahya 1:1 – 2) dan juga al-Masih (KSI: Matius 16:16). Seorang putera itu bertutur dan bertindak bagi pihak ayahandanya. Sebagai Firman Allah, Isa bertutur bagi pihak Allah, membawa kata-kata yang penuh dengan kebenaran dan kasih kurnia (KSI: Yahya 1:14). Sebagai al-Masih, Isa bertindak bagi pihak Allah, membawa Kerajaan Allah kepada umat-Nya (KSI: Matius 4:17). Dalam caranya yang tersendiri, Isa al-Masih menyatakan Allah sehingga Isa berkata kepada pengikut-Nya, ‘Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa’ (KSI: Yahya 14:5 – 14). Pengikut Isa al-Masih yang sejati mengakui Dia adalah satu-satunya Putera Allah (KSI: Yahya 20:31).
Putera Insan
Ungkapan yang digunakan oleh Isa al-Masih untuk diri-Nya sendiri (KSI: Matius 20:28). Isa sering menyebut diri-Nya ‘Putera Insan,’ baik untuk menyatakan kerendahan-Nya (KSI: Matius 8:20) dan penderitaan-Nya (KSI: Markus 8:31), mahupun kebangkitan-Nya (KSI: Matius 17:9) dan kedatangan-Nya sebagai hakim (KSI: Matius 25:31). Akan tetapi apabila ditanya jikalau Dia adalah al-Masih, Putera Allah, Isa menjawab bahawa Dia adalah Putera Insan yang duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa dan yang akan datang dalam awan di atas langit (KSI: Matius 26:64; KST: Danial 7:13).
Roh Iblis
Juga digunakan dalam bentuk jamak. Kuasa durjana yang boleh merasuk orang sehingga jatuh sakit.
Beelzebul atau Iblis dianggap sebagai pemimpin para roh iblis (KSI: Matius 9:34, 12:24). Isa dan pengikut-pengikut-Nya memiliki kuasa untuk mengusir roh iblis sehingga orang yang kerasukan sembuh kembali.
Roh Suci (Roh Allah)
Dengan Roh-Nya dan Firman-Nya Allah menciptakan langit dan bumi serta memberikan nafas kepada manusia (KST: Kejadian 1:1 – 31).
Roh Suci juga mengilhamkan orang tertentu, seperti para hakim, para raja, dan para nabi (KST: Yasyaya 11:1 – 3; KSI: Lukas 1:35). Dalam Kitab Suci Injil kerapkali disebut Roh Suci, Roh Isa (KSI: Kisah Para Rasul 16:7), atau Roh Putera Allah (KSI: Galatia 4:6). Dia adalah pelaksana kehendak Allah di bumi, disebut juga Penolong atau Roh saja, yang melanjutkan serta menerapkan penyelamatan Isa (KSI: Yahya 14:16). Dia adalah penggerak perkhabaran Injil (KSI: Kisah Para Rasul 1:8), dan pemberi kesaksian Allah dalam hati orang yang percaya bahawa mereka adalah anak-anak Allah (KSI: Rom 8:15 – 16). Allah tidak boleh dipisahkan daripada Roh-Nya atau daripada Firman-Nya.
Rom
Ibu kota kekaisaran Rom. Pusat kekuasaan politik pada masa awal terbentuknya jemaah pengikut Isa. Di akhir kehidupannya, Paulus membawa Injil sampai ke kota ini, dan mungkin mati syahid akibat penganiayaan yang dilakukan oleh Kaisar Nero terhadap para pengikut Isa. Surat kepada jemaah Rom ditulis Paulus sekitar 58 TM di Korintus.
Rumah Ibadat
Tempat bani Israel berkumpul untuk beribadat pada hari Sabat (Sabtu). Selain itu juga digunakan sebagai balai pertemuan orang ramai dan sebagai sekolah (KSI: Lukas 1:10) oleh ramai orang, khususnya bani Israel kerana perbezaan agama dan adat istiadat (KSI: Lukas 10:25 – 37).
Sabat
Hari ketujuh menurut kalendar bangsa Yahudi. Hari ini dianggap sebagai hari yang suci; pada hari ini tidak seorang pun boleh bekerja. Hari orang Yahudi bermula pada saat matahari terbenam (KSI: Matius 12:1 – 12; KSI: Markus 2:23 – 28).
Kunci: KST: Kitab Suci Taurat; KSZ: Kitab Suci Zabur; KSI: Kitab Suci Injil